Anti PPSMI, kajian antarabangsa kayu pengukur

Berpuluh ribu rakyat Malaysia yang terdiri dari pejuang-pejuang bahasa, ahli-ahli akademik, pemimpin parti-parti politik, NGO dan rakyat jelata berhimpun di Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan terhadap perlaksanaan PPSMI. Walaupun dibedil dengan gas pemedih mata dan pancutan air daripada water cannon, itu tidak melemahkan semangat untuk memperjuangkan Bahasa Melayu khasnya. Ini adalah insyarat jelas kepada kerajaan untuk menimbangkan semula perlaksanaan dasar PPSMI ini.

Menyorot kembali bantahan terhadap dasar PPSMI ini menjadi lebih hebat selepas keputusan UPSR dan PMR diumumkan tahun lepas. Keputusan UPSR dan PMR yang diumumkan itu secara purata menunjukkan peningkatan dari segi prestasi secara keseluruhannya. Peningkatan prestasi ini termasuk dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dimana pelajarnya telah melalui proses PPSMI. Justeru, Kementerian Pelajaran membuat kesimpulan bahawa ini adalah kejayaan pelaksanaan PPSMI.

Mengapa rakyat marah walaupun keputusan untuk kedua-dua peperiksaan tersebut adalah amat baik berbanding tahun sebelumnya? Jawapannya mudah. Apabila sesuatu kerajaan itu sudah hilang kredibilitinya, maka apa saja yang didakwa oleh mereka tetap diragui oleh rakyat.

Statistik boleh dimanipulasikan. Ini adalah sebagai persediaan psikologi yang sengaja dicipta oleh pihak tertentu untuk merelevenkan pelaksanaan dasar ini. Graf markah lulus yang mungkin sengaja diturunkan bagi menunjukkan kepada umum bahawa dasar PPSMI berjaya. Kita patut melihat kajian-kajian lain terutamanya diperingkat antarabangsa yang menilai pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, salah satunya ialah kajian The Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS).

TIMSS ialah satu penilaian pencapaian pelajar-pelajar Gred 8 (bersamaan Tingkatan 2) di dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat antarabangsa. Kajian ini membandingkan kedudukan pelajar sesebuah negara di peringkat dunia dan perbandingan ini dilakukan melalui ujian-ujian yang diadakan oleh badan dunia terbabit. Pada masa ini, kajian TIMSS telah masuk kitaran ketiga dan yang terbaru dikenali sebagai TIMSS 2007. Untuk kajian TIMSS 1999 dan TIMSS 2003, soalan-soalan ujian diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sepenuhnya (O’Connor and Malak, 1999; Chrostowski and Malak, 2003). Kajian yang terbaru iaitu TIMSS 2007 menggunakan soalan dwi-bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris selaras dengan pelaksanaan dasar PPSMI (Johansone and Malak, 2007). Jadual dibawah menunjukkan prestasi pelajar di dalam kajian TIMSS 1999 hingga TIMSS 2007.

Perbandingan prestasi pelajar dalam kajian TIMSS 2007 menunjukkan skor untuk kedua-dua mata pelajaran Sains dan Matematik adalah semakin merosot, begitu juga dengan kedudukan Malaysia secara keseluruhannya. Yang membimbangkan ialah pemahaman pelajar yang semakin merosot di dalam kedua-dua mata pelajaran penting ini menjadikan skor pelajar Malaysia dalam TIMSS semakin berkurangan.

Perkara yang lebih menarik untuk diperhatikan dalam laporan TIMSS 2007 ini ialah negara yang tidak mengamalkan PPSMI menunjukkan prestasi cemerlang. Sebagai contoh kita lihat 10 negara teratas yang mempunyai skor tertinggi di dalam mata pelajaran Sains seperti dalam jadual berikut.
Kecuali Singapura yang menggunaan bahasa Inggeris di dalam sistem persekolahan mereka, negara-negara lain dalam senarai di atas menggunakan bahasa ibunda. Walaupun bahasa Inggeris bukan merupakan bahasa ibunda Singapura, tetapi penggunaannya cukup meluas dan dipersetujui oleh pengkaji sosiolinguistik yang menunjukkan bahawa bahasa dalam kalangan keluarga di Singapura adalah bahasa Inggeris (Tajuddin Jaafar, 2005).

Ini membuktikan penggunaan bahasa Inggeris bukanlah asas kepada peningkatan pencapaian di dalam bidang Sains dan Matematik. Sebagai contoh, keputusan International Mathematical Olympiad 2008 juga menunjukkan tiada sebuah negara pun daripada 10 negara teratas yang pesertanya belajar Matematik dalam bahasa asing (International Mathematical Olympiad, 2008).

Dari sudut sejarah, kita dapat lihat bagaiaman negara-negara seperti Jerman, Perancis dan Jepun menjadi maju tanpa menggunakan bahasa Inggeris. Contohnya di Jerman, seorang pakar neuropsikolinguistik iaitu Profesor Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716) yang mengemukakan penemuan kajian saintifik beliau bahawa otak seseorang itu di sebelah kanan lebih mudah dan cekap menyerap apa saja ilmu jika ia dipelajari melalui bahasa pertama atau bahasa ibunda kerana jika dipelajari melalui bahasa kedua (otak sebelah kiri) ia memerlukan proses penterjemahan dan akan menjadi lambat dan kecekapannya menurun sedikit. Di atas prinsip ini juga, Jerman yang pada asalnya menggunakan bahasa Inggeris dan Perancis yang dikatakan lebih maju pada ketika itu menukar haluan kembali menggunakan bahasa Jerman untuk tujuan pembelajaran. Kesannya, negara Jerman meningkat maju berkali ganda dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Justeru itu, kerajaan perlu mengkaji semula keberkesanan dasar PPSMI bukan sahaja dengan melihat kepada peperiksaan dalaman seperti UPSR dan PMR, tetapi turut mengkaji penilaian antarabangsa seperti TIMSS di mana skor yang diperolehi oleh pelajar Malaysia semakin merosot, begitu juga dengan kedudukan negara di peringkat antarabangsa.

Kerajaan juga sepatutnya mengambil kira kajian ahli-ahli akademik mengenai kemerosotan pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik selepas dasar PPSMI dilaksanakan. Sebagai contoh kajian oleh Profesor Nor Hashimah Jalaluddin (2004) menunjukkan penurunan prestasi dalam mata pelajaran Sains dan Matematik yang cukup membimbangkan. Dalam kajian tersebut yang dijalankan pada tahun 2004 menunjukkan peratus pelajar Tingkatan 2 (pelajar-pelajar ini mula belajar Sains dan Matematik di Tingkatan 1 pada tahun 2003) yang mendapat gred cemerlang, A bagi mata pelajaran Sains dan Matematik adalah terlalu rendah, iaitu 11.9% bagi mata pelajaran Sains dan 16.9% untuk Matematik. Hampir separuh daripada sampel yang dikaji (45.49%) gagal dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut.

1 comments:

Gadis Reformasi March 10, 2009 at 6:07 AM  

pak menteri dah cukup matang menilai hati rakyat dan undang2 yang tertera!
atau mereka tetap di dunia kejahilan?

Post a Comment

Dr H.H.

Hanya pandangan 20sen melalui mata yang memandang dan telinga yang mendengar. Tulisan-tulisan di dalam blog ini ditulis di dalam Bahasa Malaysia dan juga Bahasa Inggeris.