PPSMI dihapuskan atau diperbaiki?

Isunya sekarang ialah sama ada PPSMI dihapuskan sama sekali atau dasar ini hanya perlu diperbaiki? Satu faktor yang perlu dilihat ialah tenaga pengajarnya. Kajian Isahak Haron et al., 2008 (boleh dibaca disini) menunjukkan 85% guru mengajar Sains dan Matematik dengan menggunakan campuran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu; dan hanya 10% sahaja guru yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Kajian tersebut merumuskan bahawa kebanyakan guru sendiri masih lemah penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris. Hasil kajian tersebut selari dengan semakan audit terhadap Laporan Mengenai Kajian Penilaian Pelaksanaan Program PPSMI yang mendapati penguasaan bahasa Inggeris majoriti guru Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah masih rendah.

Saya cuba menganalisa keputusan Penilaian Tahap Profisiensi (PTP) 2008 yang diwajibkan kepada guru-guru PPSMI untuk mengukur pencapaian mereka dalam penguasaan kemahiran bahasa Inggeris. Penguasaan bahasa Inggeris diukur berdasarkan pencapaian Tahap 1 hingga 5. Tahap 5 dikategorikan sebagai memiliki kecekapan yang amat tinggi manakala Tahap 4 sebagai memiliki kecekapan tinggi. Tahap 3 pula sebagai sederhana, manakala Tahap 2 sebagai kecekapan yang rendah; dan Tahap 1 sebagai terlalu rendah.
Rajah diatas menunjukkan hanya 12.0% (atau 8,366 daripada 69,533) saja guru-guru yang boleh dikategorikan sebagai memiliki kecekapan tinggi dengan hanya 0.1% mendapat Tahap 5 dan 11.9% mendapat Tahap 4. Majoriti besar guru-guru hanya dikategorikan sebagai memiliki kecekapan sederhana (51.6%) dan rendah sebanyak 36.3% (Tahap 2 dengan 34.0% dan Tahap 1 dengan 2.3%).

Persoalannya, adakah objektif PSSMI ini akan tercapai jika tenaga pengajarnya sendiri masih lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris? Akhbar The Star melalui surat pembaca pernah mendedahkan bahawa terdapat guru yang menggunakan istilah bahasa Inggeris yang salah, sebagai contoh “tolak” yang mana istilah yang betul sepatutnya ialah “minus” menjadi “push” – “4 push 3”, (Rujuk The Star, 19 September 2008, artikel bertajuk Failure not in language but in teachers).

Guru adalah merupakan faktor utama menyumbang kepada kecemerlangan pelajar dalam akademik. Kecekapan dan keberkesanan seseorang guru memainkan peranan yang penting sebagai pembimbing atau model kerana ia akan mempengaruhi pelajar untuk menunjukkan sikap yang positif terhadap pencapaian akademik (Johari Surif et al., 2006). Jika benar 6 tahun lalu kerajaan ingin melaksanakan dasar ini, sepatutnya kerajaan perlu memastikan guru-guru ini mendapat latihan yang secukupnya sebelum melaksanakan PPSMI. Dasar PPSMI yang dicadang dan diluluskan secara terburu-buru memberikan kesan negatif dimana wujudnya sindrom ‘paksa rela’ dikalangan guru-guru yang dikerah menyertai program ini.

0 comments:

Post a Comment

Dr H.H.

Hanya pandangan 20sen melalui mata yang memandang dan telinga yang mendengar. Tulisan-tulisan di dalam blog ini ditulis di dalam Bahasa Malaysia dan juga Bahasa Inggeris.