Bajet Mini: Indah khabar dari rupa


Sebelum saya menyentuh mengenai intipati Bajet Mini yang diumumkan tadi, tertanya-tanya juga saya dari manakah datangnya RM60 bilion ini? Kecuali Bon Simpanan Kerajaan berasaskan syariah berjumlah RM5 bilion akan diterbitkan. Sekurang-kurangnya semasa Pakej Rangsangan Ekonomi pertama yang diumumkan sebanyak RM7 bilion itu, ada juga disebutkan wang itu adalah dari penjimatan subsidi minyak ekoran dari penurunan harga minyak dunia. Tidak mengapa, kita lupakan persoalan itu buat sementara waktu.

Jumlah RM60 bilion diperuntukkan kepada 4 Teras seperti berikut:

(1) RM2 bilion untuk mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan.
(2) RM10 bilion untuk meringankan beban rakyat terutamanya golongan mudah terjejas.
(3) RM29 bilion unguk membantu sektor swasta menghadapi krisis.
(4) RM19 bilion untuk membina keupayaan masa depan.

Kita lihat pula intipati bajet ini untuk merangsang ekonomi. RM15 bilion merupakan suntikan fiskal, RM25 bilion dana jaminan, RM10 bilion pelaburan ekuiti (untuk Khazanah Nasional), RM7 bilion inisiatif pembiayaan swasta dan off-budget, dan RM3 bilion insentif cukai.

RM10 bilion untuk pelaburan ekuiti Khazanah Nasional dan sejumlah RM25 bilion dana jaminan untuk siapa? Tidak dinyatakan secara terperinci. Sekali impas, bajet ini lebih kepada bajet bail-out syarikat-syarikat tertentu!

Oh, jangan lupa juga untuk membantu syarikat Proton dan Perodua yang sedang menghadapi kekurangan jualan kereta. Pada mulanya cadangan insentif RM5,000 diberikan untuk kereta berusia melebihi 15 tahun (Rujuk Berita Harian, 23 Februari 2009 disini), tetapi bajet mini mengumumkan kereta berusia lebih 10 tahun sudah boleh dapat subsidi RM5,000 dengan membeli kereta Proton atau Perodua. Bukankah lebih baik jika wang itu digunakan untuk menaiktarafkan sistem pengangkutan? Bajet mini hanya memperuntukkan RM200 juta untuk menaik taraf infrastruktur, tetapi ianya hanya di tempat tumpuan pelancong!

Di pihak rakyat, sudah semestinya mereka inginkan sesuatu yang dapat membantu di dalam keadaan krisis ekonomi seperti ini. Peruntukan untuk mereka yang dibuang kerja dan graduan menganggur adalah terlalu kecil. Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tadi bahawa sebanyak 163,000 peluang latihan dan penempatan pekerjaan di sektor awam dan swasta akan diwujudkan. Di dalam ucapan beliau tadi, hanya angka yang kecil dikatakan telah kehilangan kerja iaitu hanya 25,000 orang semenjak Oktober 2008. Itu mungkin statistik daripada Kementerian Sumber Manusia dimana mereka yang dibuang kerja pergi mendaftarkan diri di Kementerian tersebut. Pesoalannya adakah semua yang dibuang kerja pergi mendaftarkan diri? Sudah semestinya tidak! Pada hakikatnya 400,000 akan dibuang kerja mengikut kajian Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Kerajaan sepatutnya telah lama mewujudkan satu Skim Pemberhentian Kerja (Retrenchment Scheme) yang mungkin boleh diletakkan dibawah PERKESO untuk mengendalikan skim tersebut. Saya akan ulas mengenai cadangan ini pada entri yang akan datang, insyallah.

Bajet Mini hanya memperuntukkan subsidi RM674 juta untuk mengelak kenaikan harga barangan keperluan seperti gula, roti dan tepung. Peruntukan yang melibatkan rakyat secara khusus adalah kecil, mungkin rangsangan ini adalah lebih baik jika sistem pemberian kupon seperti di Taiwan contohnya dapat dilaksanakan.

Apa yang boleh saya rumuskan ialah Bajet Mini yang diumumkan tadi hanya indah khabar dari rupa.

1 comments:

Penggali Kubur March 11, 2009 at 1:01 AM  

BN ni buat la hapa pun.. orang dah hilang kepercayaan...

Setiap benda rakyat tengok suspicious aje...

Post a Comment

Dr H.H.

Hanya pandangan 20sen melalui mata yang memandang dan telinga yang mendengar. Tulisan-tulisan di dalam blog ini ditulis di dalam Bahasa Malaysia dan juga Bahasa Inggeris.